Lonjakkan pendidikan di Sarawak
Oleh ZAAIN ZIN
zaain.zin@utusan.com.my
zaain.zin@utusan.com.my
Seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Samarahan mengemukakan
pandangan pada majlis penutupan Forum Mengenai Laporan Awal Pelan Pembangunan
Malaysia di Kuching, semalam.
KUCHING
22 Okt. - Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025 yang akan
dilaksanakan tahun depan mampu membantu melonjakkan mutu pendidikan di negeri
ini supaya setaraf dengan negeri-negeri lain terutama di Semenanjung.
Menteri Kebajikan,
Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri, Datuk Fatimah Abdullah berkata,
berbanding negeri-negeri di Semenanjung, bidang pendidikan di Sarawak diakui
agak ketinggalan dalam beberapa aspek.
Katanya, antara aspek
itu adalah akses kepada pendidikan yang lebih meluas serta infrastruktur yang
lebih canggih dan lengkap.
"Sehubungan itu,
semua pihak termasuk ibu bapa, golongan pendidik, pertubuhan dan agensi swasta
perlu memanfaatkan peluang yang ada dengan menyumbang input bernas sepanjang
laporan awal pelan ini dibentangkan.
"Laporan awal
pelan ini akan dibuka untuk mana-mana pihak mengemukakan idea atau pandangan
bagi tujuan penambahbaikan sebelum dimuktamadkan menjelang hujung tahun
ini," katanya.
Beliau berucap
menyempurnakan majlis penutupan Forum Mengenai Laporan Awal Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025 anjuran Institut Pengurusan Sarawak (Masa) di
Pustaka Negeri, di sini hari ini.
Yang turut hadir,
Pengarah Unit Pembangunan Tenaga Kerja Jabatan Ketua Menteri, Dr. Abdul Rahman
Deen; Presiden Persatuan India Sarawak, Piara Singh Gill serta Timbalan
Presiden Masa, Datuk Dr. Hatta Solhi.
Fatimah memberitahu,
kerajaan menghargai pandangan semua pihak di peringkat akar umbi terutama warga
pendidik biasa memandangkan golongan itu akan berdepan secara langsung dengan
setiap pelaksanaan dasar.
Dalam perkembangan
berkaitan, beliau berkata, pihaknya akan memastikan pelan tersebut turut
memberi tumpuan dalam meningkatkan akses dan kualiti pendidikan khas bagi
membolehkan golongan istimewa di negeri ini memperoleh peluang pendidikan
seperti kanak-kanak normal.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20121023/wb_03/Lonjakkan-pendidikan-di-Sarawak#ixzz2A7ttq7SX
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment